
13 INDIVIDU TERMASUK SEORANG WANITA DITAHAN DISYAKI CURI KABEL TELEKOMUNIKASI DI MELAKA
JASIN 15 Oktober – Polis Melaka menumpaskan sindiket mencuri kabel telekomunikasi bernilai RM60,000 hasil tangkapan 13 individu termasuk seorang wanita dalam satu serbuan di Kawasan Perindustrian Merlimau, Isnin lalu.
Ketua Polis Melaka, Dato’ Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua suspek ditahan hasil operasi dan risikan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada jam 6 petang Isnin lalu.
Katanya, ketika serbuan kesemua suspek sedang melakukan aktiviti memotong kabel di kawasan utiliti bawah tanah dan menyamar sebagai subkontraktor dengan memakai baju kalis cahaya syarikat telekomunikasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau surat kebenaran daripada syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya pada sidang media di IPD Jasin, di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada mereka termasuk suspek wanita positif dadah jenis methamphetamine.
“Sementara itu semakan pula mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau. Hasil serbuan kami turut merampas pelbagai peralatan digunakan dalam kegiatan itu termasuk sebuah jengkaut, lima kenderaan termasuk kenderaan pacuan empat roda (4X4) dan kenderaan pelbagai guna (MPV).
“Turut dirampas, 167 batang kabel, tujuh (7) helai baju kalis cahaya, topi keselamatan (2), mesin penyedut air, generator elektrik, gergaji serta peralatan kerja kontraktor,” katanya.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata tangkapan kali ini merupakan antara yang terbesar direkodkan di Melaka dan sebelum ini hanya beroperasi dalam kumpulan kecil sahaja, namun kali ini jumlahnya lebih besar dan menggunakan jengkaut serta pelbagai peralatan lain.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai telah aktif sejak dua hingga tiga bulan dan turut beroperasi di negeri lain sebelum akhirnya ditumpaskan di Melaka.
“Siasatan turut mendapati semua suspek bekerja di bawah seorang lelaki dipercayai dalang sindiket itu yang masih bebas dan berada di Lembah Klang.
“Setiap kerja pemotongan kabel dibayar antara RM1,000 hingga RM1,500 bagi pemotong kabel, RM400 hingga RM500 bagi pembuka lubang utiliti, RM100 hingga RM200 bagi kawalan lalu lintas dan kerja lain dibayar antara RM300 hingga RM400 seorang,” ujarnya.
Katanya lagi, permohonan reman terhadap kesemua suspek telah dibenarkan selama empat hari sehingga esok dan polis menjangkakan pertuduhan akan dibuat sebaik tempoh reman tamat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.