Sorting by

×

PERKASA WANITA MELAKA, BERI SOKONGAN KEPADA IBU TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

SERI NEGERI 24 April – Pemerkasaan golongan wanita di negeri ini perlu diberi perhatian oleh dengan menyediakan pelbagai platform seperti program keusahawanan dan latihan kemahiran.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, ia termasuklah memberi sokongan kepada ibu tunggal dalam membantu meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup mereka.

“Justeru, saya berharap usaha ini akan terus diperkukuh melalui peluasan jaringan perlindungan sosial, peningkatan peluang ekonomi serta sokongan berterusan kepada pembangunan komuniti agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Jelas Tun Dr. Mohd Ali, pujian wajar diberikan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah menunjukkan kesungguhan dalam menjaga kebajikan setiap golongan rentan di negeri ini.

Menurut beliau, ia termasuklah keluarga berpendapatan rendah, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu tunggal, di samping turut memperkasa peranan wanita sebagai tonggak penting dalam institusi keluarga dan masyarakat.

“Saya amat berbesar hati di atas kesungguhan Kerajaan Negeri yang tidak putus-putus melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya menyediakan bantuan kewangan, bantuan lampin pakai buang, menyediakan susu bagi pesakit terlantar serta latihan kemahiran percuma untuk orang kurang upaya,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

230
Kongsi :
Previous post MALAYSIA BERALIH KE ‘BANDAR BIJAKSANA’, FOKUS KESEIMBANGAN DAN KELESTARIAN
Next post MELAKA TERJEMAH ASET KEPADA IMPAK EKONOMI, KESEJAHTERAAN RAKYAT – KM