
2 MOTOSIKAL ANTARA 140 HADIAH MENARIK MENANTI PENGUNJUNG DI TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 24 April – Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tanjung Bidara menawarkan 140 hadiah cabutan bertuah termasuk dua buah motosikal elektrik, ipad dan telefon pintar sebagai tarikan utama kepada pengunjung.
Tarikan itu menjadi sebahagian daripada langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam menarik penyertaan masyarakat, khususnya golongan muda untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan dan pengurusan sumber air secara lestari.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pengurusan air yang berkesan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama erat antara pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan kelangsungan sumber berharga itu.
Jelas beliau, penganjuran sambutan berkenaan bukan sahaja bertujuan meraikan Hari Air Sedunia, malah menjadi platform penting untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga sumber air.
“Program ini memberi ruang kepada rakyat untuk memahami peranan masing-masing dalam memastikan kelestarian sumber air terus terpelihara, selain menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
“Kesedaran awam yang tinggi akan mendorong penghargaan terhadap sumber air yang menjadi asas kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan
Menurut Hameed, pendekatan tersebut juga selari dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat melalui pemeliharaan alam sekitar serta pengurusan sumber asli secara mampan dan bertanggungjawab.
Sambutan berprestij itu bakal disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap agenda kelestarian air negara.
Pelbagai pengisian menarik turut disediakan sepanjang sambutan itu, antaranya pameran agensi di bawah PETRA, sukan rakyat seperti bola tampar pantai, konda-kondi dan tarik tali, selain aktiviti komuniti serta perkhemaha.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan tersebut dan merebut peluang memenangi pelbagai hadiah menarik, di samping bersama-sama mengangkat agenda kelestarian air demi masa depan negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

