
40 BEKAS KAKITANGAN PEJABAT KESIHATAN ALOR GAJAH BERTEMU KEMBALI SELEPAS LIMA TAHUN
TANJUNG BIDARA 25 April – Lebih 40 bekas kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menghadiri majlis reunion (perjumpaan semula) yang julung kalinya diadakan selepas lebih lima tahun tidak bersua kerana masing-masing menamatkan perkhidmatan.
Penyelaras majlis reunion berkenaan, Abdullah Md Derus berkata perjumpaan itu menghimpunkan semula bekas kakitangan PKD Alor Gajah melibatkan doktor, pembantu perubatan dan jururawat.
“Perjumpaan ini hasil cadangan beberapa bekas kakitangan yang terkenang kemesraan dan kemeriahan ketika bertugas suatu masa dahulu, apa tidaknya kami ini bukan sekadar rakan satu tempat kerja tetapi sudah seperti keluarga.
“Alhamdulillah selepas dua bulan melakukan perancangan kami berjaya merealisasikan majlis perjumpaan ini, lebih istimewa kerana sambutan masih dalam bulan Syawal, kemeriahan Aidilfitri itu masih terasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Antara yang hadir ke majlis berlangsung di sebuah resort di Tanjung Bidara, pada 11 April lalu adalah Dato’ Dr. Rosdi Abd Rahman, Dr. Jamal Ali Johari, Dr. Zuraini Zainal, Dr Hazlinda Hamzah, Abu Bakar Dewa dan Ramli Mohd Yatim.
Abdullah berkata, pihaknya bercadang untuk menganjurkan majlis sama pada tahun hadapan dengan melibatkan lebih ramai bekas kakitangan PKD Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


