Sorting by

×

MELAKA SASAR 90 PERATUS KEPUASAN RAKYAT MENJELANG 2026

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Oktober – Kerajaan Negeri menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu bagi memperkukuh kecekapan dan integriti pentadbiran iaitu pencapaian 90 peratus kadar kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan awam negeri menjelang tahun 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, KPI itu bukanlah sekadar angka, namun ia komitmen untuk melangkah ke hadapan.

Beliau menzahirkan keyakinan dengan semangat kesetiaan dan integriti, penjawat awam Melaka akan terus menjadi nadi penggerak kemajuan negeri ini menuju Melaka yang lestari dan sejahtera.

“Cara kerja penjawat awam juga perlu berubah dari budaya ‘fail di atas meja’ kepada ‘keputusan di hujung jari’ yang mana pendekatan itu akan mempercepatkan keputusan, tingkat ketelusan serta perkukuh integriti tadbir urus negeri.

“Kerajaan Negeri turut melaksanakan agenda transformasi digital dengan sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus sistem utama perkhidmatan awam dilaksanakan secara digital menjelang tahun 2026,

“Melaka juga menjadi negeri pertama yang menggabungkan maklumat pengambilan tanah dalam proses kelulusan pelan pembangunan, sebagai satu inovasi besar ke arah pentadbiran produktif dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri (MAPAN) Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2025, di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf memaklumkan, Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kira-kira RM13.5 juta setahun hasil daripada reformasi karenah birokrasi seperti penambahbaikan proses pentadbiran dan pengurangan karenah dalam urusan membabitkan kerajaan.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan agenda Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi memperkukuh kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri.

“Reformasi ini bukan sekadar mengurangkan prosedur, tetapi menuntut perubahan budaya kerja yang pantas, efisien dan berorientasikan rakyat. Rakyat tidak boleh lagi menunggu sistem, sebaliknya sistem mesti bersedia menunggu rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

555
Kongsi :
Previous post 458 PENJAWAT AWAM MELAKA TERIMA APC, AKP
Next post MBMB TAMBAH BAIK KAWASAN NIAGA PANTAI PUTERI DEMI KESELESAAN, KESELAMATAN