
WRUR AYER MOLEK: ZIARAH KASIH SENTUH HATI PESARA GURU JAIM, MANTAN PEGAWAI SYARAK
AYER MOLEK 7 Mei – Program Peduli Ummah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek menterjemahkan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap mantan pegawai syarak dan pesara guru Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang banyak mencurah bakti tidak ternilai kepada masyarakat.
Program itu menyentuh hati golongan berkenaan kerana ada dalam kalangan mereka ketika ini sedang diuji dengan masalah kesihatan dan tidak kurang ada yang sudah uzur akibat faktor usia.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, program itu melibatkan ziarah ke 60 kediaman mantan pegawai syarak dan pesara guru JAIM.
“Kita tidak mahu mereka ini berasa tersisih atau tidak lagi dihargai selepas bersara. Alhamdulillah pesara yang ditemui mengalu-alukan kedatangan sukarelawan program, suasana meriah kerana mereka sudah lama tidak menerima tetamu dalam jumlah yang ramai.
“Kehadiran rombongan ziarah kasih ini sedikit sebanyak memberi suntikan semangat kepada mereka terutama yang sedang berdepan masalah kesihatan dan ujian hidup.
“Ada yang kehidupannya baik dan ada juga yang kurang bernasib baik kerana ditimpa musibah atau masalah kesihatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Program Peduli Ummah Untuk Mantan Pegawai Syarak dan Guru JAIM Bagi Semua Masjid DUN Ayer Molek di Kampung Balik Bukit, Bukit Lintang, di sini, hari ini.
Ziarah diadakan adalah sebahagian daripada pengisian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Molek dan turut dihadiri Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat.
Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, menerusi ziarah diadakan pihaknya dapat merekodkan perkembangan terkini pesara berkenaan.
“Bukan semata-mata barangan yang dipandang, tetapi apabila ramai bertandang, mereka rasa gembira dan dihargai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

