
MELAKA NAIK TARAF INFRASTRUKTUR, PERKASA PELANCONGAN LUAR BANDAR
AYER LIMAU 26 Oktober – Projek naik taraf dan pembangunan dilaksanakan sekitar daerah Alor Gajah khusus di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasakan sektor pelancongan luar bandar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, berkata ia bertujuan memastikan pembangunan negeri tidak hanya tertumpu di kawasan bandar atau lokasi ikonik semata-mata.
Katanya Kerajaan Melaka optimis membangunkan lokasi di Alor Gajah dan Jasin sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang menjadi nadi baharu ekosistem ekonomi tempatan.
Jelasnya, bagi menyokong aspirasi tersebut, kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang memberi nilai tambah kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti di kawasan setempat.
Mengulas lanjut Ketua Menteri, berkata antara dilaksanakan adalah kerja-kerja memulihkan saliran di Kampung Ramuan China Kecil melibatkan kos sebanyak RM50,000; kerja-kerja pengorekan enapan di Jeti Ramuan China Kechil dan Jeti Telok Berembang dengan kos keseluruhan bernilai RM190,000; menaik taraf Jeti Ramuan China Kecil melibatkan kos RM190,000 dan penstabilan tebing di Kampung Solok Limau Nipis dengan kos RM80,000.
“Turut dilaksanakan pengaluran Sungai Paya Lebar bagi mengurangkan risiko banjir melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM479,590 dan pembinaan Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Rembau di Pekan Lubok China, daerah Alor Gajah bernilai RM475,350.
“Hakikatnya, ini hanyalah sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan untuk memastikan setiap perancangan pembangunan benar-benar memberi limpahan manfaat kepada setiap lapisan masyarakat, walau di ceruk kampung sekalipun,” kata Ketua Menteri.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Ke Projek Jeti Telok Berembang dan Perasmian Pesta Perarakan Perahu Berhias @Telok Berembang Sempena Festival Sungai Melaka di Jeti Telok Berembang, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk China, Azmi Hashim.
Menurut Ketua Menteri setiap usaha dilaksanakan diharap akan mencetuskan gelombang baharu yang memacu peluang pekerjaan, meningkatkan keselamatan dan kemudahan di samping mengurangkan risiko banjir melalui projek-projek pemulihan sungai dan penaiktarafan prasarana yang sedang giat dilaksanakan.
“Besar harapan saya agar semangat yang kita tunjukkan hari ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang mampu membawa kemajuan luar bandar seiring dengan arus pembangunan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


