Sorting by

×

PERARAKAN PERAHU BERHIAS MAMPU TARIK PELANCONG KE TELOK BEREMBANG

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER LIMAU 26 Oktober – Pesta Perarakan Perahu Berhias @Telok Berembang bakal dianjurkan pada skala lebih besar pada tahun hadapan, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan sektor pelancongan luar bandar.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mencadangkan agar program itu diangkat sebagai festival melibatkan Dewan Undangan Negeri Ayer Limau dan Kuala Linggi yang bukan sahaja menjadi tempat penduduk tempatan berkumpul, sebaliknya mewujudkan satu lagi produk baharu mampu menggamit lebih ramai pelancong ke kawasan utara Melaka.

“Saya dimaklumkan bahawa sepanjang penganjuran pesta ini, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, termasuk, Fun Walk with Plogging, Pertandingan Busana Cilik serta pelbagai acara lain yang melibatkan lebih 200 orang peserta.

“Saya lihat, program seumpama ini secara langsung membuktikan bahawa kawasan luar bandar mempunyai potensi besar untuk terus dimajukan sebagai destinasi pelancongan utama negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi serta menjana manfaat kepada komuniti setempat,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Lawatan Ke Projek Jeti Telok Berembang dan Perasmian Pesta Perarakan Perahu Berhias @Telok Berembang Sempena Festival Sungai Melaka di Jeti Telok Berembang, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk China, Azmi Hashim.

Katanya, cadangan itu juga mampu memperhebatkan lagi sektor pelancongan Melaka yang menerima jumlah pelancong dan pelawat yang tinggi sepanjang 2024 dan berterusan hingga ke tahun ini.

“Selepas ini Kerajaan Negeri akan melancarkan Tahun Melawat Melaka 2.0, jadi orang tempatan perlu teroka dan  fikirkan cara bagaimana untuk menghidupkan kawasan ini dengan tawaran cenderamata serta produk kampung. Fikirkan bagaimana kita mahu menyambut pelancong dengan tarikan seperti makanan tradisional dan sukan rakyat.

“Inisiatif ini juga antara cara untuk kita memperkenalkan lagi konda kondi ke peringkat antarabangsa begitu juga dengan dam aji yang ketika ini mendapat perhatian pelbagai pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

759
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI SAMPAIKAN KUPON RAKYAT UNTUK ORANG TANJUNG BIDARA 
Next post MELAKA NAIK TARAF INFRASTRUKTUR, PERKASA PELANCONGAN LUAR BANDAR