Sorting by

×

MELAKA ZAHIR SOKONGAN TERHADAP MANIFESTO BN SABAH

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 23 November – Barisan Nasional (BN) Melaka menzahirkan sokongan teguh dan keyakinan penuh terhadap Manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diumumkan BN Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, manifesto itu membuktikan kepimpinan BN Sabah tampil dengan hala tuju yang jelas, tersusun dan realistik bagi membawa negeri tersebut ke tahap pembangunan lebih stabil, makmur dan inklusif.

Beliau yang juga Pengerusi BN Melaka berkata manifesto itu bukan sekadar dokumen pilihan raya, sebaliknya pelan tindakan strategik yang mencerminkan aspirasi sebenar rakyat Sabah serta usaha memperkukuh kesejahteraan semua komuniti.

“Manifesto BN Sabah berteraskan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang mengangkat iltizam ‘Sabah Membangun Bersama’.

“Selaras prinsip BN iaitu ‘Kestabilan Teras Kemakmuran’, RPS1 merangkumi lebih 30 inisiatif di bawah enam teras utama, menjadikannya suatu rangka kerja pembangunan komprehensif berpaksikan rakyat dan berhala tuju jelas untuk masa depan Sabah.

“Antara fokus utama manifesto termasuk pembangunan ekonomi berimpak tinggi, peningkatan kebajikan rakyat, pendidikan berkualiti, kesejahteraan sosial serta tadbir urus berintegriti.

“Semua teras ini mencerminkan komitmen BN untuk menawarkan penyelesaian sebenar, bukan retorik; tindakan, bukan janji kosong,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menegaskan bahawa keyakinan itu bersandarkan keupayaan kepimpinan BN Sabah yang memahami denyut nadi rakyat serta keutamaan pembangunan setempat.

Jelasnya, Melaka yakin BN Sabah mampu menerajui agenda besar itu dengan penuh integriti dan kesungguhan.

Beliau juga mengingatkan rakyat Sabah mengenai rekod pencapaian serta jasa kepimpinan BN terdahulu yang terbukti membangunkan negeri itu dengan hasil nyata.

“Pengalaman dan rekod prestasi itu menjadi asas keyakinan terhadap pelaksanaan manifesto kali ini.

“Dengan sokongan padu rakyat Sabah dan pelaksanaan konsisten, manifesto berkenaan diyakini mampu mengangkat Sabah ke tahap lebih gemilang, sekali gus mengukuhkan kestabilan politik dan ekonomi negara.

“Melaka berdiri teguh bersama Sabah dengan semangat yang sama-masa depan yang stabil, maju dan inklusif. Demi Rakyat, Demi Sabah. Kita Bikin Balik Sabah!” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post HARGA RENDAH, MELAKA PILIHAN PEMBELI RUMAH KEDUA DAN KETIGA