
191 PREMIS MAKANAN MELAKA DIIKTIRAF BERSIH, SELAMAT
BUKIT KATIL 1 Disember – Sebanyak 191 premis makanan termasuk kantin sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh tiga tahun iaitu 2023 hingga 2025.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, untuk tahun ini sahaja iaitu bagi tempoh Januari hingga Oktober, sebanyak 91 premis makanan termasuk kantin sekolah telah mendapat pengiktirafan BeSS.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan giat menjalankan pemantauan berkala terhadap semua premis BeSS bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap keperluan yang ditetapkan.
“Kita kekal komited untuk melindungi orang ramai daripada bahaya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, selain memudahkan perdagangan makanan.
“Antara aktiviti yang dijalankan di lapangan adalah pemeriksaan makanan, persampelan, penguatkuasaan, khidmat nasihat kepada industri makanan dan promosi keselamatan makanan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil BeSS kepada 26 premis makanan di bawah rangkaian kopi terkemuka, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, setiap premis makanan perlu memenuhi beberapa kriteria bagi mendapat pengiktirafan BeSS dan perlu mencapai markah pemeriksaan sekurang-kurangnya 86 peratus dan tempoh sah laku pengiktirafan itu adalah selama tiga tahun.
“Selain perlu mencapai markah pemeriksaan sekurang-kurangnya 86 peratus, mereka juga perlu memenuhi kriteria wajib seperti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), berdaftar dalam sistem Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) dan memiliki lesen sah daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Kesemua pengendali makanan juga diwajibkan melengkapkan suntikan anti-tifoid serta menghadiri Kursus Latihan Pengendali Makanan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, bagi tempoh 1 Januari hingga 22 November 2024, sebanyak 5,787 premis makanan telah diperiksa di seluruh Negeri Melaka.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 1,939 notis kesalahan kebersihan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang bernilai RM260,475.
“Selain itu, 77 premis makanan telah dikenakan tindakan penutupan selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan antara sebab penutupan yang paling utama ialah dapur premis terdapat sisa najis tikus, lipas dan tahap kebersihan premis yang tidak mematuhi piawaian KKM,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

