
MELAKA PASTIKAN PEMBANGUNAN TIDAK JEJASKAN WARISAN BERSEJARAH
SERI NEGERI 10 Disember – Kerajaan Negeri akan mengimbangi pembangunan komersial Straits Of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) susulan penemuan rangka kapal purba dan artifak di pesisir Pulau Melaka.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, walaupun kawasan penemuan itu terletak dalam zon SM-WEZ dan tanah persendirian milik Chin Hin Property (M) Sdn Bhd, Kerajaan Negeri tetap memberi jaminan bahawa warisan maritim tersebut tidak akan diketepikan.
“Penemuan ini menuntut kita memastikan keseimbangan antara pembangunan pesisiran pantai dan pemeliharaan warisan sejarah Melaka terus menjadi keutamaan.
“Susulan penemuan itu, perbincangan bersama pemilik tanah akan diadakan bagi memaklumkan status tapak serta membincangkan perancangan seterusnya agar kepentingan warisan tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH–Banda Hilir) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan segera diambil termasuk perlindungan kawasan jumpaan, dokumentasi awal seperti pemetaan tapak dan pengumpulan data artifak selain penangguhan sementara aktiviti pembangunan sehingga penilaian lengkap diperoleh daripada pakar.
“Kerajaan Negeri turut mengiktiraf kawasan tersebut berpotensi menjadi produk pelancongan baharu dalam bidang warisan dan arkeologi maritim selain menyokong cadangan menjadikannya pusat penyelidikan dan pendidikan arkeologi maritim.
“Cadangan penubuhan Muzium Sejarah Maritim Melaka turut dikaitkan dengan usaha ini termasuk menjadikan tapak jumpaan sebagai lokasi ekskavasi maritim ‘in-situ’ bagi memperkukuh fungsi muzium tersebut,” katanya.
Katanya, bagi pelan jangka pendek dalam tempoh satu hingga enam bulan, kerja ekskavasi terperinci dan penilaian tahap kepentingan warisan akan dilaksanakan.
“Ini bagi menentukan zon perlindungan yang sesuai dan boleh melaksanakan perincian seterusnya selepas penyelidikan dijalankan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


