
MELAKA BAKAL PERKENAL GARIS PANDUAN PERKASA TADBIR URUS, PENGURUSAN KEWANGAN
BANDA HILIR 12 Disember – Satu garis panduan akan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun hadapan bagi memperkasakan tadbir urus dan prestasi agensi serta anak syarikat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, 2026 merupakan ‘Tahun Pemecut’ atau ‘The Acceleration Year’ bagi Melaka, sekali gus menuntut setiap agensi dan syarikat bertindak lebih agresif, proaktif dan inovatif dalam menjana pertumbuhan ekonomi baharu.
“Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu garis panduan pada pertengahan tahun hadapan yang akan diguna pakai oleh semua agensi dan anak syarikat.
“Ia bagi memastikan tadbir urus, pengurusan kewangan dan ketelusan operasi sentiasa memenuhi piawaian audit.
“Selaras dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) setiap syarikat antaranya perlu menilai semula model perniagaan, memanfaatkan teknologi digital dan meneroka pasaran baharu supaya Melaka sentiasa selangkah dihadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam ‘The Corporate Gala Night 2025’ yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad, di sebuah hotel, di Banda Hilir, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Ketua Agensi serta Anak Syarikat Kerajaan Negeri.
Menurut Ketua Menteri, hala tuju Melaka amat jelas iaitu mahu membina sebuah ekosistem ekonomi yang berdaya tahan, inovatif, inklusif serta mampu menjana pertumbuhan baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Saya ingin menegaskan setiap pembangunan tidak boleh lagi bersifat sambil lewa atau semborono oleh itu projek-projek yang bergerak perlahan atau tertangguh mesti dipercepatkan manakala projek baharu perlu dilaksanakan segera agar manfaatnya dapat dicapai secara optimum.
“Paling penting dan utama adalah kajian atau analisa dari segi ‘viability’ dan ‘feasibility’perlu dibuat penilaian yang teliti serta terperinci sebelum sesuatu projek boleh diputuskan dan dimulakan,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) diumumkan sebagai penerima Business Excellence Award manakala lima agensi termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menerima Top Performers Award.
Anugerah itu diberikan kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Lembaga Tabung Amanah Melaka (LTAM), MICTH, Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) dan Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM).
Manakala bagi Anugerah Top Contributors Award pula, dianugerahkan kepada LTAM, Lembaga Perumahan Melaka (LPM), MICTH, Perbadanan Melaka (MCORP) dan SAMB.
Sementara itu, Melaka Hari Ini Sdn Bhd diumumkan antara lima syarikat dan penerima Business Turnaround Archievement Award selepas peningkatan prestasi dan berjaya dikeluarkan daripada kategori ICU.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


