
ISU SEWA, KESELAMATAN ANTARA DISUARAKAN PENIAGA SEBANG SENTRAL
GADEK 16 Januari – Isu keselamatan dan penyelenggaraan bangunan antara perkara yang dibangkitkan pada sesi dialog bersama 35 peniaga Terminal Bas Sebang Sentral.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, Datuk VP Shanmugam berkata sesi dialog itu bertujuan untuk mendengar maklum balas secara terus berkaitan cabaran semasa serta ruang penambahbaikan bagi kemudahan dan persekitaran perniagaan di stesen bas tersebut.
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan dan NGO negeri berkata, isu paling menjadi tumpuan adalah permohonan peniaga agar kadar sewa diturunkan bagi meringankan kos mereka.
“Pada sesi dialog itu juga 35 daripada 50 peniaga yang hadir meminta agar jejantas dari Terminal Keretapi Tanah Melayu (KTM) Pulau Sebang ke Terminal Bas Sebang Sentral dapat dipercepatkan bagi meningkatkan aliran pengunjung ke kawasan tersebut.
“Selain itu, terdapat aduan melibatkan kecacatan kecil pada bangunan yang memerlukan kerja pembaikan segera serta isu keselamatan yang semakin membimbangkan susulan kekurangan rondaan di kawasan berkenaan.
“Terdapat beberapa kes yang tidak diingini berlaku dan peniaga mencadangkan agar pihak keselamatan dikerahkan dengan lebih kerap atau sebuah pondok keselamatan dibina,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Susulan itu beliau akan mengambil tindakan segera termasuk membawa isu dibangkitkan bagi perhatian dan tindakan segera Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) khusus bagi permasalahan melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Saya telah mendengar sendiri keluhan peniaga dan akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu-isu yang dibangkitkan,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


