Sorting by

×

HEBAT: CAKNA PERMASALAHAN RAKYAT SECARA MENYELURUH

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SERI NEGERI 5 Februari – Pendekatan Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 menjadi medium penting dalam menyantuni permasalahan rakyat melibatkan pelbagai isu secara menyeluruh.

Peniaga kecil, Hay Chin Ming, 59, hadir bersama isteri, Saridah Omar, 58, memaklumkan perjumpaan empat mata bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman, menerusi program HEBAT memberi kelegaan buat mereka berdua yang menjalankan perniagaan di Taman Seri Krubong.

Mualaf yang juga orang kurang upaya (OKU) ini berkata, dia mengetahui penganjuran Program HEBAT melalui media sosial dan menyifatkan pendekatan bersemuka tersebut bukan sahaja memudahkan rakyat, penyelesaian juga lebih cepat dan berkesan.

“Isu saya membabitkan lokasi perniagaan yang telah diusahakan selama enam tahun, selepas pertemuan bersama Datuk Bandar menerusi HEBAT ini, alhamdulillah saya diberi kebenaran untuk meneruskan perniagaan kecil saya.

“Pada saya, Program HEBAT ini wajar dilaksanakan secara berkala kerana banyak isu rakyat Melaka memerlukan perhatian segera wakil rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program berkenaan di Kompleks Seri Negeri, di sini, semalam.

Nada sama disuarakan suri rumah, B Saraswathy, 41, dari Taman Onlok, Batang Melaka, menyifatkan program itu mampu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri .

Katanya, isu tunggakan cukai taksiran di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang dibangkitkannya menerima maklum balas positif selepas pertemuan bersama wakil rakyat terlibat.

“Saya telah mencapai persetujuan untuk dibantu menyelesaikan isu dihadapi dan pada saya objektif HEBAT ini telah tercapai,”katanya.

Whatsapp image 2026 02 04 at 4.15.19 pm
NORSIAH.

Sementara itu, Norsiah Abdul Manan, 43, turut hadir bagi mendapatkan perhatian berhubung permohonan pembelian rumah sendiri selepas sekian lama memohon sokongan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Norsiah yang berkerusi roda dan menghidap masalah buah pinggang kronik menyifatkan Program HEBAT sebagai jambatan kepada bantuan kebajikan dan sokongan khusus kepada golongan memerlukan.

“Pendekatan HEBAT yang membolehkan wakil rakyat sendiri mendengar keluhan rakyat ini sangat baik dan perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara tanpa mengira latar belakang,” katanya sebak selepas menerima surat sokongan permohonan pembelian rumah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI LEBIH SELAMAT, SELESA
Next post SEMINAR MARITIM PERBETUL NARATIF SEJARAH KESULTANAN MELAYU MELAKA