
PENJAWAT AWAM JUGA RAKYAT, HEBAT JADI MEDIUM ADUAN MENYELURUH
SERI NEGERI 5 Februari – Penjawat awam antara yang memanfaatkan Penganjuran Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka siri 1/ 2026 untuk menyarakan permasalahan yang dihadapi mereka.
Mohd Hailmey Mustafa, 42, berkata kakitangan kerajaan juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan sama seperti orang awam.
“Penjawat awam juga sebahagian daripada rakyat jadi saya menggunakan medium HEBAT untuk mencari penyelesaian berhubung permasalahan yang dihadapi.
“Menerusi medium seperti ini kita berasa lebih selesa untuk menyuarakan permasalahan, kerenah birokrasi juga dapat dikurangkan, ini amat bagus kerana selaras aspirasi Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan proses penyelesaian permasalahan disuarakan oleh rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program HEBAT di Seri Negeri, di sini, semalam.
Katanya, gerak kerja Program HEBAT juga membolehkan pegawai agensi atau jabatan berkenaan untuk mengambil tindakan susulan berhubung sesuatu permasalahan dengan lebih pantas, tersusun dan mengikut saluran yang betul.
Sementara itu seorang lagi penjawat awam, Hazilah Uzir, 38, berkata Program HEBAT yang dilaksanakan dalam tahun kedua ini terbukti berkesan sebagai medium terbaik untuk rakyat bertemu wakil rakyat secara langsung.
“Sebagai penjawat awam yang berkhidmat di Melaka, menerusi HEBAT kita dapat mengemukakan isu yang (penjawat awam) hadapi di rumah kerana hakikatnya penjawat awam juga adalah rakyat,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


