
TIDAK BERTANGGUH RESEPI ABDULLAH ‘AZZAM PEROLEH MUMTAZ SUFI DALAM STAM 2025
AYER KEROH 7 Februari – Amalan tidak bertangguh dalam melaksanakan sesuatu tugasan antara resepi utama kejayaan Abdullah ‘Azzam Amsyari, 24, memperoleh Mumtaz Sufi, sekali gus membuktikan disiplin diri mampu membentuk kecemerlangan berterusan.
Abdullah ‘Azzam juga merupakan lelaki tunggal mendapat kecemerlangan Mumtaz daripada jumlah keseluruhan 13 calon yang cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 Peringkat Negeri Melaka.
Berkongsi kisah kejayaannya, Abdullah ‘Azzam berkata sikap sentiasa menyelesaikan tugasan awal dan mengurus masa dengan berkesan membantunya mengekalkan prestasi akademik yang konsisten, selain memberi ruang untuk membuat ulang kaji secara lebih terancang.
Jelasnya, meskipun pada lewat usia 23 tahun dikira agak lewat untuk mengambil peperiksaan tinggi tersebut, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menjadikan ia sebagai halangan untuk menggapai kejayaan mengejar cita-citanya untuk bergelar tenaga pengajar dalam bidang Usuluddin suatu hari nanti.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip yang teguh untuk mendalami bidang agama ini. Sebagai pelajar saya nasihati adik-adik yang bakal mengambil apa jua peperiksaan untuk tidak menangguh kerja kerana ia hanya akan menambah tekanan dan menjejaskan fokus pembelajaran.
“Bila tugasan disiapkan awal, fikiran lebih tenang dan saya boleh memberi tumpuan kepada pemahaman pelajaran dengan lebih mendalam, khususnya dalam pelajaran Nahu dan Sarf,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Melaka 2024 yang dirasmikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Bukit Baru, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, sokongan ahli keluarga, guru dan rakan-rakan turut memainkan peranan penting dalam menyemai semangat untuk terus berdisiplin dan berusaha mencapai kecemerlangan.
“Kejayaan yang diraih itu diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain agar mengamalkan sikap tidak bertangguh serta menjadikan pengurusan masa sebagai kunci utama dalam mencapai kejayaan akademik dan sahsiah diri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


