Sorting by

×

MELAKA MAHU LAHIRKAN PEMIKIR MUDA BERINTEGRITI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

LENDU 7 Mac – Pelajar Tingkatan Enam di negeri ini disaran untuk menjadi pemikir muda yang berintegriti serta mampu menilai maklumat dengan bijak dalam era digital masa kini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, generasi muda kini berdepan cabaran dunia yang semakin kompleks terutama dengan lambakan maklumat di media sosial.

Menurutnya, golongan pelajar perlu berfikir secara matang sebelum mempercayai sesuatu maklumat selain menilai kesahihannya sebelum menyebarkannya kepada orang lain.

“Hari ini perjuangan generasi muda bukan lagi di medan peperangan, tetapi di medan ilmu, integriti dan pemikiran.

“Jadilah generasi yang berfikir sebelum mempercayai, menilai sebelum menyebarkan dan memimpin sebelum dipimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Slot Bicara Tokoh Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI, Generasi MADANI ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ Siri 1 melibatkan pelajar Tingkatan Enam Negeri Melaka di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunjur Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir, Rektor UiTM Melaka Kampus Alor Gajah Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Melaka Agus Putra Apandi.

Program tersebut menghimpunkan hampir 1,000 pelajar Tingkatan Enam dari 21 buah sekolah di seluruh Melaka.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pelajar Tingkatan Enam sudah termasuk dalam kelompok pemikir muda yang bakal memimpin masyarakat pada masa hadapan.

“Golongan muda juga perlu memahami peranan mereka dalam pembangunan negara selain menanam semangat cintakan tanah air sejak di bangku sekolah.

“Program seperti Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI ini penting sebagai platform menyemai semangat kenegaraan serta memperkukuh jati diri generasi muda sebagai pewaris kepimpinan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post AL-AZHAR SETUJU JADIKAN UNIMEL PUSAT PASCASISWAZAH
Next post AB RAUF TITIP TIGA PESANAN KEPADA GENERASI MUDA MELAKA