BAYI ASNAF BARU LAHIR TERUS ADA SIMPANAN PENDIDIKAN RM3,000

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TANJUNG BIDARA 13 September – Anak-anak daripada keluarga asnaf di Melaka kini mempunyai persediaan awal untuk pendidikan masa depan apabila Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mula menyediakan tabungan pendidikan RM3,000 sejak mereka dilahirkan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, inisiatif menerusi Skim Bantuan Simpanan Pelajaran Anak Asnaf itu menyaksikan setiap bayi pasangan asnaf yang baru dilahirkan akan dibukakan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), sebelum RM3,000 dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

Katanya, skim tersebut mula dilaksanakan pada Jun lalu sebagai langkah menyediakan tabungan pendidikan anak-anak asnaf lebih awal.

“Sehingga kini hampir 30 bayi asnaf telah menerima manfaat berkenaan dalam tempoh dua bulan pelaksanaannya.

“Setiap bayi asnaf yang baru lahir, kita akan membuka akaun SSPN untuk kita masukkan bantuan RM3,000.

“Wang bantuan ini hanya boleh dikeluarkan daripada akaun SSPN itu selepas bayi berkenaan berumur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Tunas Inspirasi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Pada majlis sama, seramai 89 pelajar cemerlang SPM, STPM dan STAM menerima Anugerah Tunas Inspirasi MAIM sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, tempoh simpanan yang panjang itu turut memberi peluang kepada nilai bantuan berkenaan berkembang menerusi dividen yang diterima sepanjang tempoh penyimpanan.

Tambahnya, pendekatan itu menunjukkan bantuan kepada golongan asnaf bukan hanya tertumpu kepada keperluan semasa, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap persediaan pendidikan anak-anak untuk tempoh jangka panjang.

“Selepas mengambil kira dividen yang bakal diterima dalam simpanan SSPN itu, jumlah yang tersimpan dijangka bertambah,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad berkata Kerajaan Negeri menerusi MAIM akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan asnaf.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

489
Kongsi :
Previous post ANAK MELAKA JANGAN HANYA KEJAR A, PERLU SEDIA HADAPI ERA AI – AB RAUF