PELABURAN RM163,690 UNTUK MASA DEPAN ANAK ASNAF MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 13 September – Sebanyak RM163,690 diperuntukkan Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi menyediakan pelbagai bentuk insentif dan sokongan pendidikan kepada golongan asnaf sepanjang tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu bukan sekadar bantuan jangka pendek malah ia satu bentuk pelaburan bagi melahirkan generasi berilmu serta membantu keluarga asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan.

Katanya, setiap ringgit yang disalurkan kepada pendidikan diharap menghasilkan impak lebih besar kepada negeri pada masa hadapan.

“Setiap ringgit yang kita laburkan pada pendidikan hari ini, kita harap kembali kepada Melaka dalam bentuk generasi berilmu, keluarga yang keluar daripada kemiskinan dan masyarakat yang lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tunas Inspirasi MAIM Tahun 2026 di Kompleks Falak Al- Khawarizmi, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Pada majlis tersebut, seramai 89 penerima diraikan atas kejayaan dalam bidang pendidikan, kemahiran dan kehidupan, khususnya dalam kalangan keluarga asnaf fakir, miskin serta mualaf.

Daripada jumlah itu, empat menerima Anugerah Ikon Pelajar Cemerlang membabitkan kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025, tiga menerima Anugerah Biasiswa Mumtaz, manakala 10 menerima Anugerah Dermasiswa Tun Perak.

Selain itu, dua Ikon Usahawan Bimbingan Zakat Tahun 2026 turut diraikan sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka membina kehidupan yang lebih berdikari.

Setiap ikon usahawan menerima wang tunai RM2,500, plak dan sijil penghargaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kejayaan usahawan terbabit membuktikan bantuan kepada golongan asnaf mampu menjadi batu loncatan untuk membina kehidupan yang lebih berdikari dan bermaruah.

“Bantuan kepada golongan asnaf bukan sekadar untuk memenuhi keperluan hari ini, tetapi boleh menjadi batu loncatan untuk membina kehidupan yang berdikari dan bermaruah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post USAHA BANTU PENERIMA KEBAJIKAN DIPERTINGKAT – HAMEED