
FESTIVAL SUNGAI MELAKA ‘HIDUPKAN’ EKONOMI KOMUNITI AYER LIMAU
AYER LIMAU 13 September – Festival Sungai Melaka 2026 bukan sekadar memeriahkan kawasan sungai di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, malah membuka peluang ekonomi kepada peniaga dan penduduk setempat menerusi kehadiran lebih 3,000 pengunjung dan peserta sepanjang penganjurannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris berkata, pelbagai aktiviti yang dianjurkan pada 6 dan 12 September berjaya menarik penglibatan komuniti setempat, sekali gus mewujudkan limpahan ekonomi kepada penduduk sekitar.
Menurutnya, antara pengisian yang dianjurkan termasuk pertandingan memancing udang galah di Jeti Ramuan China Kechil, selain perarakan perahu berhias, pertandingan dam aji dan konda kondo, pertandingan busana cilik, tebar jala, brisk walk, pertandingan memancing dan aktiviti plogging di Jeti Telok Berembang serta Kampung Sungai Siput.
“Alhamdulillah, Festival Sungai Melaka di DUN Ayer Limau sahaja, hampir 3,000 hadir memeriahkan pelbagai program yang telah kita susun.
“Selain program menarik untuk seisi keluarga, festival ini turut membuka peluang ekonomi kepada peniaga-peniaga dan penduduk setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Sungai Melaka 2026 Daerah Alor Gajah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Limau yang turut diserikan dengan kehadiran Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di Jeti Telok Berembang, di sini, hari ini.
Shaharul Azuar berkata, sambutan menggalakkan itu turut didorong hasil sokongan komuniti termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) kawasan terlibat serta penduduk kawasan sekitar.
Katanya, penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti berkenaan membuktikan Festival Sungai Melaka mampu menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat selain memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi setempat.
“Ini adalah satu yang positif kepada PPSPM kerana dalam masa sama kita dapat mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.
“Kita mahu masyarakat melihat sungai bukan sahaja sebagai kawasan untuk aktiviti rekreasi, tetapi mempunyai potensi untuk menjana ekonomi dan menarik pelancong,” katanya.
Menurutnya, aspek pelancongan sungai turut diberi penekanan menerusi penglibatan komuniti memandanhkan PPSPM juga memiliki produk pelancongan Eco Cruise Sungai Linggi di kawasan tersebut.
“Jadi, hubungan baik bersama komuniti setempat ini penting supaya mereka turut mendapat manfaat apabila aktiviti pelancongan sungai terus berkembang,” katanya.
Shaharul Azuar berkata, pengisian seperti plogging turut memberi nilai tambah kepada festival apabila peserta bukan sahaja beriadah, malah bersama-sama mengutip sampah sebagai usaha mendidik generasi muda mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar.
Katanya, pendekatan menggabungkan aktiviti komuniti, rekreasi, kesedaran alam sekitar dan peluang ekonomi itu selari dengan usaha PPSPM untuk terus menghidupkan kawasan sungai sebagai destinasi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

