WRUR DUN AYER LIMAU SANTUNI SEMUA LAPISAN MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER LIMAU 13 September – Pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau mendapat sambutan amat menggalakkan apabila pelbagai program yang dirancang menerima penyertaan amat memberangsangkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, program yang dianjurkan merangkumi bidang pendidikan, agrotani, nelayan, kebajikan dan keagamaan.

“Pengisian WRUR turut dirangka mengikut keperluan serta kepentingan masyarakat setempat bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

“Alhamdulillah kerana boleh dikatakan semua program yang dilaksanakan mendapat sambutan amat baik daripada penduduk,” katanya.

Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ayer Limau Berselawat ‘Mahabbah Cinta Rasul’ di Dewan Terbuka Taman Datuk Setia, pada Jumaat.

Menurut Hameed, komitmen untuk mendekati masyarakat turut diteruskan sehingga hari terakhir pelaksanaan WRUR apabila sebanyak tujuh program lagi disusun mengikut zon dan lapisan masyarakat.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaksanaan WRUR bukan sekadar tertumpu kepada satu kelompok, sebaliknya memberi ruang kepada seluruh masyarakat untuk menyertai program selain menyampaikan pandangan serta keperluan mereka.

“Kita libatkan semua lapisan masyarakat kerana mahu memastikan tiada golongan yang tercicir daripada perhatian dan manfaat yang dibawa menerusi program ini.

“Selain ia memberi peluang kepada kita untuk mendengar sendiri suara rakyat, memahami keperluan mereka dan melihat perkara yang boleh kita bantu melalui agensi berkaitan,” katanya.

Jelasnya, segala maklum balas yang diterima sepanjang WRUR DUN Ayer Limau akan diberi perhatian dan tindakan susulan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post HANYA MELAKA ADA WRUR, MUDAHKAN URUSAN SELESAI MASALAH RAKYAT