HANYA MELAKA ADA WRUR, MUDAHKAN URUSAN SELESAI MASALAH RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR 12 September – Melaka menjadi satu-satunya negeri di Malaysia melaksanakan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bertujuan mempermudahkan ikhtiar menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Mustafa Musa berkata, sepanjang program itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), wakil agensi serta jabatan terkait dengan urusan seharian rakyat turun padang untuk berjumpa dengan rakyat.

Katanya, bukan hanya mendengar permasalahan, tetapi inisiatif itu juga menjadi medium mencari masalah membelenggu rakyat bagi memastikan orang Melaka hidup dalam keadaan selesa dan tidak ada yang terpinggir.

“Semenjak dilaksanakan WRUR merekodkan lebih 1,900 program di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Melaka dan setakat ini berjaya menyelesaikan lebih 3,800 aduan.

“Sementara itu lebih 5,000 aduan terkumpul pula diselesaikan secara ‘on the spot’  dan juga diselesaikan secara satu pesatu mengikut ketentuan waktu.

“Sepanjang penganjurannya tidak ada protokol yang membatasi pergerakan antara wakil rakyat dan rakyat,” katanya ketika berucap mewakili Melaka pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Mustafa berkata, sehubungan itu semua Adun di Melaka perlu menjiwai keperitan rakyat agar urusan mereka menyelesaikan masalah rakyat menjadi lebih mudah dan memberikan impak.

Siri pertama WRUR dilaksanakan di DUN Kuala Linggi tahun lalu dan DUN Tanjung Bidara akan menjadi lokasi terakhir penganjurannya bermula 13 hingga 20 September, sekali gus melengkapkan penganjurannya di semua 28 DUN di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

384
Kongsi :
Previous post MELAKA TAK ADA MASALAH ‘ORDER’ LAIN DAPAT LAIN, KITA ADA KAMPUNG DIGITAL