
MELAKA TAK ADA MASALAH ‘ORDER’ LAIN DAPAT LAIN, KITA ADA KAMPUNG DIGITAL
KUALA LUMPUR 12 September – Usaha Kerajaan Negeri mentransformasikan 618 Kampung tradisional kepada Kampung Digital iaitu inisiatif pertama seumpamanya di Malaysia menarik perhatian perwakilan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Mustafa Musa berkata, inisiatif hasil cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu memberikan impak yang besar terutama dalam sistem melancarkan sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.
“Apa yang untungnya kalau dulu alamat surat-menyurat sama semuanya dilonggokkan di kedai kopi, ada yang lewat mendaftar kerana surat tawaran basah kena hujan, impian ke menara gading hancurΒ berkecai menjadi debu.
“Urusan kecemasan untuk ambulans juga menjadi lebih mudah. Dulu Batu 21 Pulau Sebang, Kampung saya ada 1,000 buah rumah. Jadi sekarang di Melaka tak ada masalah ‘order’ lain dapat lain, sebab kita ada Kampung Digital,” katanya ketika berucap mewakili Negeri Melaka pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mustafa berkata, bagi melancarkan lagi urusan pengebumian umat Islam di Melaka, Kerajaan Negeri ketika ini sedang melaksanakan inisiatif kubur digital.
Katanya, usaha itu bukan sahaja menjadikan sistem pengurusan tanah perkuburan Islam di Melaka lebih tersusun, malah memudahkan urusan waris untuk menziarah kubur saudara mara terutamanya melibatkan pusara tidak mempunyai tanda atau sudah berusia.
“Tidak cukup dengan itu ternakan juga didigitalkan, biasanya bila hari raya semakin hampir ramai yang mengaku ternakan berkeliaran itu milik mereka, lembu orang tapi mengaku lembu dia, tetapi apabila berlaku kemalangan masing-masing senyap tak mengaku.
“Selepas ini kita daftarkan, bila ada keperluan kita boleh semak menerusi pendaftaran digital ini siapa pemilik sebenar ternakan berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


