
FORESTAY TAMAN BOTANIKAL BAKAL DIBERI IMEJ BAHARU
AYER KEROH 8 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bakal membangunkan semula ‘Forestay’ di Taman Botanikal Melaka, di sini, sebagai tarikan berkonsep pelancongan alam semulajadi, kata Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.
Beliau berkata, usaha mewajah semula Taman Botanikal merupakan antara perkara yang dihasratkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ketika mengadakan lawatan ke taman rekreasi hutan dalam bandar itu.
Menurutnya, beberapa fasiliti yang terdapat di kawasan itu akan dinaik taraf dalam masa terdekat bagi memberi imej baharu dalam usaha menarik pelancong.
“Antara yang akan dilakukan adalah menaik taraf beberapa pembangunan, antaranya Forestay yang merupakan chalet sebanyak 30 unit memandangkan terdapat operator yang bersetuju mengendalikannya.
“Selain itu, kita juga bercadang membangunkan tapak glamping dan karavan dengan beberapa konsep baharu.
“Jadi kita berharap pembangunan ini dapat memacu pelancongan di kawasan Ayer Keroh dan mereka yang datang ke Melaka boleh menjadikan Taman Botanikal ini sebagai antara lokasi menginap untuk merasai suasana berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Prihatin MPHTJ 2026 di sebuah pasar raya, di sini, semalam.

Menurut Sapiah, pembangunan semula itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan hutan yang ada di kawasan tersebut.
Pada masa sama, ujar beliau, masalah keselamatan, khususnya membabitkan isu pokok tumbang juga diberi perhatian serius dan berada dalam tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


