Sorting by

×

HILAI TAWA ANAK ASNAF SENTUH HATI TOK RAOP

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

LENDU 7 Mac – Program sumbangan baju raya untuk anak asnaf dilaksanakan serentak di dua pusat menjual pakaian di Pekan Masjid Tanah, hari ini, berlangsung dalam suasana amat meriah.

Kemeriahan suasana peserta ditemani ibu bapa memilih baju raya baharu turut dirasai oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turun padang bagi bersama-sama meraikan anak-anak berkenaan.

Ab Rauf juga tumpang gembira dan kelihatan tesentuh apabila menyaksikan senyuman terukir pada wajah setiap anak-anak berkenaan yang ceria kerana mereka sudah memiliki persalinan baharu untuk digayakan pada pagi 1 Syawal nanti.

Img 20260307 wa0006

KETUA Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh membantu peserta mencuba baju Melayu yang dipilih.

Sebagai seorang pemimpin yang mudah mesra dengan rakyat, Ab Rauf turut membantu peserta program mencuba baju Melayu dan songkok raya yang dipilih sendiri mengikut citarasa mereka.

“Tiada yang lebih bermakna selain melihat senyuman di wajah anak-anak yatim dan golongan fakir miskin dalam program sumbangan baju raya. Melalui inisiatif ‘Melaka Sayang Rakyat’ (MeSRa) , kita ingin pastikan semua lapisan masyarakat dapat merasai kemeriahan Aidilfitri yang bakal tiba.

“Semoga sumbangan kecil ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi kegembiraan buat mereka. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program murni ini,” katanya.

Pada program itu Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara diiringi Adun Lendu, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Adun Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.

Inisiatif dilaksanakan itu bukan sahaja memberikan impak kepada anak-anak, sebaliknya turut melegakan ibu bapa masing-masing yang dapat menjimatkan perbelanjaan persiapan sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Img 20260307 wa0007
KEMERIAHAN sepanjang program berlangsung. Foto Pejabat Ketua Menteri

Mengikut pecahan Program Sumbangan Baju Raya Anak Yatim, Fakir Miskin, Anjuran UMNO Bahagian Masjid Tanah, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Yayasan Melaka itu melibatkan seramai 155 penerima.

Setiap penerima diperuntukkan sebanyak RM150 untuk membeli baju raya dan Kos keseluruhan perbelanjaan pula melibatkan RM23,250.

Sementara itu satu lagi program dianjurkan Pemuda UMNO Masjid Tanah pula memberikan manfaat kepada 150 orang penerima.

Program itu melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM18,000 dengan setiap peserta menerima RM120 bagi membeli baju raya.

Usai meraikan anak asnaf memilih baju raya Ketua Menteri meluangkan masa turun padang ke Program Gotong Royong & Sentuhan Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Bersama Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah di Surau Balik Batu, Tanjung Bidara.

Selain membersihkan surau program itu turut melibatkan serahan kit makanan kepada 10 orang ibu muda dan agihan air untuk berbuka puasa kepada penduduk sekitar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

330
Kongsi :
Previous post ‘DONAT PIZA’ PIKAT PENGUNJUNG CILIK BAZAR RAMADAN
Next post MELAKA ANTARA 4 NEGERI BANGUNKAN HOTEL WAKAF