Sorting by

×

30 PERATUS PERMOHONAN INISIATIF PENDIDIKAN PERCUMA DITERIMA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Mac – Kira-kira 30 peratus permohonan bagi inisiatif pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah diterima sejak dibuka bermula Januari tahun ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata, jumlah penerima bagi inisiatif itu sebelum ini hanya untuk 5,800 orang pelajar kurang berkemampuan membabitkan peruntukan kira-kira RM120 juta namun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempertimbangkan untuk memperluaskan pelaksanaan kepada 10,000 penerima.

“Inisiatif ini bermula sejak Januari lalu dan setakat ini permohonan belum lagi penuh hanya kira-kira 30 peratus sahaja diterima PTPTN.

“Namun dijangka selepas pembukaan pendaftaran baharu pada April dan Mei untuk pelajar diploma atau ijazah bagi institusi pengajian tinggi (IPT) jumlah permohonan akan banyak khususnya daripada senarai penerima bantuan eKasih.

“Inisiatif ini berfungsi sama seperti pinjaman PTPTN namun ia terdapat pengecualian terhadap bayaran semula dan setiap penerima dianggarkan menerima lebih RM20,000 setiap seorang berdasarkan jumlah awal sebanyak RM120 juta bagi 5,800 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar Perdana Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Media Melaka dan hadir sama Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Tabung  Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd Khalid, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Menurut Adam Adli, permohonan bagi inisiatif itu boleh dibuat di PTPTN dan semakan silang akan dilakukan dengan beberapa agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) serta pangkalan data eKasih bagi memastikan pemohon memenuhi syarat kelayakan.

“Ini adalah ‘standard practice’ yang menetapkan bahawa seorang pelajar hanya boleh menerima satu penajaan sahaja selain proses permohonan juga sama seperti membuat permohonan pinjaman.

“Malah ini adalah permulaan yang baik kerana sasaran kita adalah untuk memastikan pelajar diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan tinggi tanpa ada bebanan hutang pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post CAPAI KEMAJUAN 50 PERATUS, RTB DI MELAKA BERFUNGSI DENGAN BAIK KURANGKAN BANJIR
Next post PPSPM, MBSB BELANJA 200 ANAK AYER LIMAU BELI BAJU RAYA