
MELAKA MAJUKAN LEBIH 432 EKAR TANAH ADAT
AYER KEROH 9 Mac – Sebanyak 432.04 ekar Tanah Adat Melaka telah berjaya dimajukan melalui pelbagai projek pembangunan yang memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek itu telah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) sejak ia ditubuhkan pada 1991.
Jelas beliau, PERTAM berperanan untuk mengurus, memajukan serta menjaga kepentingan Tanah-tanah Adat Melayu Melaka yang khususnya pada masa ini adalah tanah-tanah status MCL (MALAY CUSTOMORY LAND) supaya lebih produktif dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat Melayu melalui projek perumahan, pertanian serta komersial untuk meningkatkan nilai ekonomi tanah adat tersebut.
“Suka saya mengingatkan semula bahawa dalam Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 yang lalu, saya telah menegaskan Tanah MCL dikekalkan sebagai Tanah MCL selaras dengan peruntukan dan prinsip yang termaktub dalam Dasar Pembangunan Negeri.
“Ketetapan ini amat penting bagi memastikan tanah adat yang diwarisi turun-temurun ini terus dipelihara nilainya, serta dapat dimanfaatkan secara lebih produktif tanpa menjejaskan kepentingan dan hak pemiliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mac 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif PERTAM Datuk Mohamad Azmi Sabtu; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan, PERTAM juga telah melebarkan sayap dalam sektor kesihatan dengan melancarkan dua Pusat Hemodialisis milik perbadanan itu yang mampu menampung sehingga 64 orang pesakit sehari terletak di Bandar Jasin Bestari dan Bukit Katil.
Menurutnya, langkah itu secara tidak langsung bagi meningkatkan akses rawatan kesihatan kepada masyarakat dan menawar rawatan kepada pesakit Hepatitis B dan Hepatitis C.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


