
DUN AYER KEROH BAKAL MILIKI GELANGGANG PICKLEBALL ‘HARGA RAKYAT’
AYER KEROH 11 Mac – Sebuah dewan terbuka yang dilengkapi gelanggang ‘pickleball’ bakal dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Putat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee berkata, kemudahan itu akan dibangunkan di Taman Ara Permai dan dijangka siap sebelum Julai tahun ini.
Menurutnya, apabila siap kelak gelanggang pickleball itu bakal menawarkan ‘harga rakyat’ iaitu hanya RM10 sejam.
“Jadi, harga ini adalah sangat-sangat rendah berbanding di gelanggang yang dikendalikan pihak swasta. Ini adalah khas untuk warga Ayer Keroh,” katanya ketika ditemui pada Walkabout Kempen Internet Selamat 2026 @ Bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Menurut Chee Yee, selain dewan terbuka dan gelanggang pickleball, inisiatif Kampung Angkat Madani itu turut memberi manfaat kepada penduduk kampung dalam pelbagai penambahbaikan infrastruktur.
Jelas beliau, antara yang dilaksanakan termasuklah pemasangan lampu solar, kerja-kerja menaik taraf longkang, penurapan jalan serta pembinaan pintu gerbang kampung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


