
TENANG LEPAS LAFAZ SYAHADAH DI USIA 60 TAHUN
KOTA LAKSAMANA 11 Mac – Ramadan tahun ini membawa makna tersendiri buat seorang warga emas apabila dapat melalui bulan mulia itu sebagai seorang Muslim selepas memeluk Islam pada Februari lalu.
Bekas pemandu teksi, Muhammad Rafiq Abdullah Krishnan, 60, berkata, keinginan untuk memeluk Islam sebenarnya sudah lama terdetik dalam hatinya namun ketika itu dia belum mempunyai kekuatan untuk melafazkan dua kalimah syahadah.
“Sebenarnya saya sudah lama mendapat hidayah tetapi sepanjang tempoh tersebut diri ini belum ada kekuatan untuk mengucap syahadah.
“Ketika berusia 30 tahun saya ada terdetik untuk menjadi seorang muslim tetapi pada ketika itu bermacam-macam perkara bermain di dalam hati membuatkan saya tidak berani serta kurang yakin.
“Akhirnya pada 6 Februari lalu saya melafazkan syahadah di Pulau Pinang dengan ditemani seorang kenalan dan bersyukur kerana hasrat yang lama dipendam itu tercapai walaupun agak lewat iaitu pada usia 60 tahun,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Hulu.
Menurutnya, detik mengucap dua kalimah syahadah menjadi antara saat paling menyentuh perasaan dalam hidupnya kerana merasakan dirinya seakan dilahirkan semula.
“Meskipun gembira kerana hasrat yang terpendam lama tertunai namun jauh disudut hati rasa sangat terharu dan cukup lega.
“Malah saya rasa diri sangat tenang dan damai yang mana satu perasaan yang tidak pernah rasakan selama ini. Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan,” katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, pengalaman pertama melalui Ramadan sebagai seorang Muslim membuka matanya mengenai nilai murni dalam Islam.
“Bagi saya Islam ini sangat indah dan mempunyai banyak kebaikan yang mungkin selama ini saya tidak sedari. Sebagai contoh, sepanjang Ramadan ini apabila dapat melihat ramai umat Islam tampil bersedekah dan berinfak.
“Ini menunjukkan sifat murah hati serta kebaikan yang ada dalam Islam kerana menerusi bersedekah ini ia bukan sahaja berkongsi rezeki malah membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan,” tambahnya.
Menurutnya lagi, dalam tempoh kira-kira sebulan bergelar seorang muslim, masih banyak yang perlu dipelajarinya, termasuk menunaikan solat dan surah al-Fatihah dengan betul.
“Kadang-kadang saya rasa sedih kerana belum mampu membaca al-Fatihah dan solat dengan sempurna lagi untuk itu buat masa ini saya solat berjemaah dan ikut imam.
“Selepas Ramadan ini saya akan mula sertai kelas di Kompleks Darul Huda, Balai Islam Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Saya yakin dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang akan diberikan saya akan dapat mempelajarinya sedikit demi sedikit tentang Islam selain dapat menjadi seorang Muslim sejati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


