Sorting by

×

TAPEM SUMBANG RM30,000 KEPADA 12 PERSATUAN MAHASISWA ANAK MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI BENDAHARA 12 Mac – Sebanyak 12 persatuan mahasiswa anak Melaka daripada 12 institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negeri menerima sumbangan daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, TAPEM menyumbang RM30,000 kepada persatuan-persatuan IPT bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pembangunan mahasiswa serta mengeratkan hubungan dalam kalangan anak Melaka di universiti.

Katanya, sumbangan itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan mahasiswa terus aktif dalam pelbagai program pembangunan diri.

“Bantuan ini diharap dapat membantu persatuan mahasiswa anak Melaka di universiti untuk melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada ahli mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Mahasiswa Anak Melaka Tahun 2026 di Kediaman Rasmi Ketua Menteri, Seri Bendahara, di sini, semalam.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengurus Besar TAPEM Abdul Aziz Baba serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sumbangan tersebut merupakan bukti kepimpinan Kerajaan Negeri yang prihatin selaras dengan gagasan ‘Melaka Sayang Rakyat’ (MeSRa).

“Saya tahu kehidupan mahasiswa bukan mudah, ada yang berjimat cermat untuk menampung perbelanjaan, ada yang terpaksa berjauhan daripada keluarga dan menanggung tekanan akademik tugasan, peperiksaan serta masa depan yang belum pasti.

“Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan kebajikan anak-anak Melaka dan sentiasa ada untuk mendengar dan menyantuni rakyat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post PULAU MELAKA BAKAL JADI ‘PIT STOP’ P-HAILING
Next post MELAKA BAWA SUARA ‘ABANG RIDER’ KE SURUHANJAYA EKONOMI GIG MALAYSIA