Sorting by

×

PULAU MELAKA BAKAL JADI ‘PIT STOP’ P-HAILING

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI BENDAHARA 12 Mac – Kerajaan Negeri bercadang untuk memberikan sebuah bangunan dilengkapi fasiliti di Pulau Melaka sebagai kemudahan tempat rehat atau ‘pit stop’ untuk penghantar makanan atau p-hailing di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Pulau Melaka akan dijadikan lokasi permulaan bagi kemudahan tersebut sebelum diperluaskan ke kawasan atau daerah lain di negeri ini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan menyediakan tempat rehat yang selesa kepada penunggang p-hailing yang sering menunggu pesanan atau pelanggan di bawah terik mentari.

“Saya akan menjadikan sebuah bangunan di Pulau Melaka sebagai tempat rehat kepada penunggang p-hailing yang ada dalam bandar Melaka untuk jadikan lokasi tersebut untuk berehat sementara menunggu pesanan.

“Jadi tidak perlu lagi menunggu di bawah pokok, bahu jalan atau di lokasi yang agak berbahaya kepada mereka dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Moreh YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Rider dan Penggiat Gig di Seri Bendahara, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri akan melihat keperluan di kawasan lain dalam negeri ini bagi menyediakan tempat rehat atau ‘pit stop’ yang bersesuaian untuk penunggang p-hailing.

“Selepas ini kita akan melihat keperluan di kawasan lain dalam negeri bagi menyediakan tempat berkumpul dan berehat untuk mereka sekiranya di lokasi lain itu strategik dan bersesuaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

426
Kongsi :
Previous post LEBIH 2,000 PENGGIAT GIG MELAKA MOREH BERSAMA KETUA MENTERI
Next post TAPEM SUMBANG RM30,000 KEPADA 12 PERSATUAN MAHASISWA ANAK MELAKA