
SUNGAI MELAKA JADI SAKSI ANAK MUDA KHATAM AL-QURAN
DUYONG 13 Mac – Alunan ayat suci al-Quran bergema sepanjang perjalanan menelusuri Sungai Melaka sekali gus menjadi saksi syiar Islam terus subur di bumi bersejarah.
Inisiatif itu digerakkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menerusi Program Khatam Al-Qurab Bersama Pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Ulul Albab dan Masjid Fathur Rahman, Pengkalan Rama.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, khatam al-Quran itu membabitkan seramai 120 peserta terdiri dalam kalangan pelajar, guru pengiring dan warga kerja PPSPM.
Jelas beliau, ia merupakan antara program yang dirangka pihaknya bagi mengimarahkan Ramadan, selain ia juga menjadi antara pengisian kerohanian dalam memberkati 20 tahun penubuhan PPSPM.
“Khatam al-Quran ini membabitkan lima buah bot Melaka River Cruise dengan perjalanan selama satu jam menelusuri Sungai Melaka.
“Usai khatam al-Quran, peserta dibawa ke Masjid Fathur Rahman untuk majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan sebagai tanda sumbangan PPSPM kepada masyarakat.
“Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menyuburkan bulan mulia Ramadan dengan pengisian kerohanian, di samping memupuk semangat cintakan al-Quran kepada generasi muda,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Menurut Shaharul Azuar, program khatam al-Quran dari atas bot Melaka River Cruise merupakan yang kedua dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada 2013 yang lalu.
Beliau turut merancang menjadikan acara berkenaan sebagai acara tahunan setiap kali Ramadan, selain turut membuka ruang kerjasama kepada pelbagai pihak untuk bersama dalam program berkenaan.
Sementara itu, Pengetua SM Imtiaz Ulul Albab Muhammad Ikhwan Zahari berkata, khatam al-Quran itu merupakan satu kelainan yang dibawa pada tahun ini apabila ia diadakan dari atas bot sambil menelusuri Sungai Melaka.
Katanya, peserta dari setiap bot dipecahkan kepada enam juzuk, di mana bacaan al-Quran itu berlangsung selama kira-kira 45 minit sehingga selesai.
“Khatam al-Quran kali ini membabitkan pelajar Tingkatan 2 dan 4 SM Imtiaz Ulul Albab. Jika kebiasaan kita mengadakan di masjid, kali ini kita amat berbesar hati kerana dapat membuat sedikit kelainan.
“Terima kasih kepada PPSPM kerana memberi peluang untuk kami bersama-sama dalam program ini dan diharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, PPSPM turut menyampaikan sumbangan zakat wakalah berjumlah RM1,500 kepada pelajar SM Imtiaz Ulul Albab, selain sumbangan RM1,500 kepada Masjid Fathur Rahman bagi tujuan pembangunan masjid berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


