
INISIATIF PERKASA BELIA MELAKA TERUS DIPERTINGKAT – KM
KUALA LINGGI 14 Mac – Kerajaan Negeri memberi tumpuan serius terhadap usaha memperkasa potensi anak-anak muda di negeri ini menerusi pelbagai inisiatif bagi memberi peluang untuk menyumbang aktif dalam pembangunan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, antara inisiatif tersebut termasuk Program Usahawan Muda, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Program Sukarelawan Belia, Paramedik Komuniti (PARAKOM), Persatuan Anak-Anak Melaka, Dewan Undangan Belia serta inisiatif di bawah Tabung Amanah Pendidikan.
Katanya, kesemua inisiatif itu hanyalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri benar-benar mesra belia.
“Kita akan mengangkat suara, idea serta sumbangan anak muda Melaka termasuk sumbangan supaya senantiasa dihargai serta diberi perhatian sewajarnya.
“Pelbagai inisiatif yang kita laksanakan memberi ruang kepada golongan muda menyumbang dan terlibat aktif bagi meneruskan momentum positif Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Bicara Tokoh Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Generasi MADANI Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat Siri 2, Kolej Matrikulasi Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Ketua Jabatan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia Azman Abd Karim; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Melaka Agus Putra Apandi dan Pengarah Kolej Matrikulasi Melaka Azeli Abdul Latif serta jemputan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut mengingatkan bahawa masa depan negeri dan negara bergantung kepada sejauh mana usaha untuk melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan bersedia dalam menghadapi cabaran dunia sebenar.
Jelasnya, slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ wajar diambil inspirasi untuk dijadikan pegangan seiring dengan semangat itu yang didukung dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Bukti Kerajaan Negeri memandang serius terhadap anak muda negeri ini menerusi kadar pengangguran siswazah menurun daripada 1.7 peratus pada 2023 kepada 1.4 peratus pada 2024, manakala jumlah siswazah yang bekerja meningkat daripada 163,100 orang kepada 172,100 orang.
“Bagi tahun lalu pula, Melaka berjaya mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM14.68 bilion, iaitu pencapaian tertinggi dalam tempoh 22 tahun yang dijangka membuka lebih 4,000 peluang pekerjaan baharu khususnya kepada golongan muda di negeri ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


