
BANTUAN RAMADAN PERKASA PERANAN MASJID DAN SURAU DI ALOR GAJAH
ALOR GAJAH 14 Mac – Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM467,000 kepada Parlimen Alor Gajah bagi diagihkan kepada 33 masjid kariah dan 105 surau sempena Ramadan tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, peruntukan itu merangkumi pemberian one-off kepada Ahli Jawatankuasa masjid dan surau, termasuk imbuhan kepada bilal wanita dan penggali kubur selain sokongan bagi program Ihya’ Ramadan serta bantuan utiliti.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan kelancaran pengimarahan rumah ibadat sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Alor Gajah di Masjid Ubaidah Kampung Melaka Pindah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.
Ab Rauf berkata setiap program dan bantuan dilaksanakan Kerajaan Negeri adalah bukti bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Tidak kira besar atau kecil, setiap usaha dijalankan dengan satu tujuan iaitu memastikan rakyat hidup lebih selesa dan terbela.
“Prinsip ini menjadi panduan kepada pendekatan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), Demi Rakyat Untuk Rakyat, di mana setiap perancangan dan keputusan yang dibuat akhirnya memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


