
MeSRa: ANAK MUDA ASET MASA HADAPAN NEGERI MELAKA
TANJUNG BIDARA 14 Mac – Kepimpinan Kerajaan Negeri diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sentiasa mengutamakan kecemerlangan akademik dalam kalangan anak jati Melaka.
Ketua Menteri berkata, menjadi pelajar pada zaman sekarang bukan perkara yang mudah kerana cabaran dihadapi bukan sekadar cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga bergelut dengan kos sara hidup, persaingan kerjaya serta pengaruh media sosial.
Malah kepesatan teknologi yang sentiasa mencabar fokus dan ketahanan diri menambah lagi cabaran perlu dihadapi pelajar pada masa sekarang.
Bagi membantu pelajar berdepan cabaran dinyatakan Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa inisiatif termasuk dengan meningkatkan peruntukan Bantuan MeSRa Pendidikan Mahasiswa Anak Melaka kepada RM240,000 pada tahun ini berbanding RM75,000 pada 2025.
Jelasnya, ini semua adalah komitmen tinggi kerajaan negeri yang berpaksikan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) , bagi memastikan anak-anak muda sebagai aset masa depan negeri diberikan peluang terbaik untuk
membina kehidupan yang lebih baik serta mengubah nasib keluarga masing-masing.
“Sepanjang saya memegang amanah mentadbir negeri bertuah ini, hampir RM70 juta telah diperuntukkan bagi tujuan memperkasa fasiliti sukan, program pembangunan belia, bantuan khas mahasiswa serta pelbagai inisiatif lain demi kesejahteraan anak-anak belia Melaka.
“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif meletakkan kebajikan dan pembangunan anak-anak
Melaka sama ada belajar di dalam mahupun di luar negara sentiasa diberi perhatian serta keutamaan,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Mahasiswa Dan Pelajar Tingkatan 6 Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Pengurus Besar, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba, guru-guru pengiring, mahasiswa dan pelajar-pelajar tingkatan enam.
Ab Rauf berkata, dalam masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri hari ini sedang giat membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi ke Melaka.
Menurut beliau, atas berkat usaha tersebut, Negeri Melaka telah merekodkan nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah iaitu RM14.68 bilion.
“Mungkin masih ramai tak faham, kenapa pentingnya pelaburan masuk ke Melaka. Hakikatnya banyak kelebihan dan keistimewaannya antara matlamat utama supaya apabila anak-anak semua tamat pengajian nanti, tidak perlu lagi berhijrah ke Kuala Lumpur atau Singapura untuk mencari peluang pekerjaan.
“Sebaliknya, kembalilah ke Melaka…Bina kerjaya di negeri sendiri dan bersama-sama membangunkan negeri yang kita cintai ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


