
MAHASISWA PERLU BERFIKIRAN BESAR, BERANI CIPTA PELUANG BAHARU – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 14 Mac – Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mempersiapkan anak muda kelahiran bumi bertuah ini sebagai pemimpin masa hadapan untuk menerajui Negeri Melaka pada masa hadapan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bumi bertuah Melaka sedang bergerak ke hadapan memacu pembangunan yang lebih maju dan mampan.
Meskipun dunia sekarang sedang menghadapi krisis ekonomi yang tidak menentu, namun, kerajaan nekad membentuk Melaka sebagai sebuah negeri yang memiliki ekonomi yang dinamik, peluang pekerjaan berkualiti, peluang yang meluas untuk anak-anak Melaka berkarya dan berjaya.
“Namun untuk mencapai matlamat ini, negeri memerlukan generasi muda yang berani berfikir besar, berani mencuba perkara baharu dan berani mencipta peluang, bukan sekadar menunggu peluang datang
kepada mereka.
“Justeru, besar harapan saya untuk melihat anak-anak Melaka, khususnya dari Masjid Tanah, suatu hari nanti muncul sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang sama ada sektor profesional, keusahawanan, teknologi mahupun pentadbiran negara,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama Mahasiswa Dan Pelajar Tingkatan 6 Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, malam tadi.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Pengurus Besar, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba, guru-guru pengiring, mahasiswa dan pelajar-pelajar tingkatan enam.
Ab Rauf yakin anak-anak Melaka, khususnya dari Masjid Tanah memiliki potensi yang luar biasa kerana ketika ini ramai yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, perubatan, teknologi, undang-undang dan pelbagai bidang profesional lain.
“Kepada lebih 400 orang Anak Masjid Tanah yang berada di hadapan saya malam ini…Manfaatkanlah zaman belajar ini untuk membina ilmu, membina pemikiran, membina jaringan pergaulan serta membentuk jati diri sebagai seorang pemimpin masa hadapan.
“Apabila berjaya nanti, baliklah berbakti kepada kampung halaman. Saya mahu melihat lebih ramai anak jati Masjid Tanah muncul sebagai pakar dalam pelbagai bidang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

