
RM4 JUTA NAIK TARAF DATARAN RIVERSIDE SUNGAI RAMBAI
SUNGAI RAMBAI 15 Mac – Dataran Riverside Sungai Rambai bakal dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi menjadikannya sebagai lokasi pelancongan lebih menarik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, projek itu turut dilaksanakan bagi menyokong usaha menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi penganjuran Festival Kuih Tradisional Aidilfitri pada tahun-tahun akan datang selain merancang pembangunan kemudahan cruise di kawasan berhampiran.
“Kerajaan Negeri merancang untuk menaik taraf dataran ini supaya ia menjadi lokasi pelancongan yang lebih menarik serta sesuai untuk penganjuran program seperti Festival Kuih Tradisional Aidilfitri.
“Peruntukan RM4 juta itu akan digunakan bagi menambah baik kemudahan serta membina infrastruktur baharu di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Festival Kuih Tradisional Aidilfitri, Pelita Raya dan Bubur Lambuk Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, proses lantikan perunding bagi projek tersebut telah dibuat dan kini berada di peringkat perancangan reka bentuk sebelum kerja-kerja pembangunan dilaksanakan dalam tahun ini.
Tambahnya, pembangunan itu juga selari dengan perancangan menjadikan Sungai Rambai sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian serta kawasan perkampungan lestari berasaskan agropelancongan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


