
GULAI KAWAH ‘SPECIAL’ AIR TANGAN TOK RAUF UNTUK ORANG TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 15 Mac – Warga Tanjung Bidara cukup bertuah pada penghujung Ramadan ini apabila diberikan ‘buah tangan’ istimewa daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Buah tangan itu berupa sebekas gulai kawah daging yang sebahagiannya dimasak sendiri ketua negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu di Masjid As-Salam Ayer Hitam Darat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf yang tiba pada jam 9 pagi terlebih dahulu menyantuni komuniti setempat yang hadir terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Beliau kemudiannya ‘masuk dapur’ bagi menunjukkan kepakaran memasak gulai kawah daging bersama masyarakat setempat, selain penampilan istimewa pelakon popular, Bell Ngasri.
Bersempena Program Dapur Tok Rauf itu, dua ekor lembu telah ditumbangkan untuk disajikan kepada warga Tanjung Bidara.
Sebanyak enam kawah gulai dimasak dan kemudiannya dibungkus secara bergotong-royong sebelum diagihkan bermula jam 11 pagi.
Selain gulai kawah, masyarakat yang hadir dari seluruh kawasan Tanjung Bidara turut memasak dodol dan bubur pulut hitam yang juga akan diagihkan kepada masyarakat di kawasan itu.
Semangat kebersamaan yang ditonjolkan sepanjang program itu secara tidak langsung menzahirkan aspirasi dan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dibawa Ketua Menteri untuk rakyat dan negeri ini.
/END
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


