Sorting by

×

460 KHATAM AL-QURAN DI TANJUNG BIDARA SEMPENA RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Mac – Seramai 460 warga Tanjung Bidara berjaya khatam al-Quran sempena Ramadan tahun ini.

Ia buat julung kalinya mengumpulkan kariah dari tujuh buah masjid, di mana acara kemuncaknya diadakan di Masjid As-Salam Kampung Ayer Hitam Darat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran program-program pengimarahan Ramadan seperti Majlis Khatam Al-Quran Perdana ini bukan sekadar sebuah majlis keagamaan semata-mata.

Sebaliknya, ujar beliau, ia membawa makna yang jauh lebih besar kerana majlis seumpamanya menjadi medan untuk semua keluarga besar Tanjung Bidara kembali mendekatkan diri kepada al-Quran, di samping menyemai ukhuwah serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

“Sebab itulah Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap program-program keagamaan seperti ini agar usaha mengimarahkan masjid serta menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran dapat terus diperkasakan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Khatam Al-Quran Perdana 2026 Peringkat DUN Tanjung Bidara di Masjid As-Salam Kampung Ayer Hitam Darat, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut merakamkan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Putra Specialist Hospital Melaka yang memilih DUN Tanjung Bidara untuk menyampaikan sumbangan zakat wakalah berjumlah RM15,000.

Jelas beliau, sumbangan itu disalurkan kepada 150 orang asnaf, mualaf dan anak-anak yatim di DUN Tanjung Bidara sempena Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

367
Kongsi :
Previous post AYAM RM5 LICIN DALAM SEJAM
Next post TANJUNG BIDARA LOKASI SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2026