
AYAM RM5 LICIN DALAM SEJAM
MERLIMAU 15 Mac – Tawaran ayam segar dengan harga serendah RM5 seekor di Pasar Tani Merlimau laris apabila sebanyak 3,000 ekor ayam yang diperuntukkan habis dijual dalam tempoh kira-kira sejam.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, tawaran diberikan itu antara tarikan yang dibawa bersempena program Semarak Syawal yang berjalan serentak di lima lokasi lain seluruh Melaka.
Beliau berkata, selain Pasar Tani Merlimau, program berkenaan turut berlangsung di Masjid Tanah, Jasin, Alor Gajah dan Selandar.
“Dengan adanya program ini ia memberi kelegaan yang amat besar untuk rakyat dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri apabila dapat membeli ayam, daging dan beras dengan harga rendah.
“Kita menyasarkan semua barang-barang keperluan asas untuk hari raya dijual dibawah harga pasaran atau lebih murah antara 10 hingga 30 peratus.
“Inisiatif ini sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan rakyat dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang amat prihatin dengan kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal @ Pasar Tani Merlimau Peringkat Negeri Melaka yang turut dihadiri Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abd Hamid, di Pasar Tani Merlimau, hari ini.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, menerusi program itu FAMA menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM300,000 dengan jangkaan kehadiran pengunjung seramai 6,000 orang.
“Malah menerusi program ini juga FAMA berharap Pasar Tani akan terus menjadi platform penting dalam memasarkan hasil pertanian tempatan.
“Ia sekali gus dapat membantu pengguna mendapatkan bekalan makanan segar dan berkualiti pada harga berpatutan khususnya menjelang Aidilfitri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


