Sorting by

×

PENGAYUH BECA MELAKA TERIMA SUMBANGAN HARI RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 15 Mac – Seramai 284 pengayuh beca Negeri Melaka menerima sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang diiktiraf sebagai duta pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM113,600 termasuk kit makanan.

Jelas beliau, inisiatif telah dilaksanakan
sejak tahun 2010 sebagai tanda ingatan Kerajaan Negeri kepada para pengayuh
beca yang bukan sahaja mencari rezeki di jalanan, malah turut memperkenalkan keunikan Melaka kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat menghargai keringat tuan-tuan. Semoga sumbangan ini dapat membantu sedikit
sebanyak dalam membuat persiapan menyambut lebaran yang lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Santai dan Festival Kuih Tradisional Negeri Melaka 2026 di perkarangan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Nasrul Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri memaklumkan, Kerajaan Negeri menerusi MBMB turut menganjurkan Iftar Santai bersama pengunjung dan pelancong yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Menurut beliau, setiap program yang
dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sentiasa berpaksikan kepada satu prinsip yang
jelas, iaitu Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

“Prinsip ini bukan sekadar slogan yang dilaungkan, tetapi merupakan komitmen yang diterjemahkan melalui pelbagai dasar, program serta inisiatif yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.

“Sepertimana yang sering ditekankan, kejayaan sebenar sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui projek fizikal mahupun angka pelaburan yang besar, tetapi pada sejauh mana kesejahteraan rakyat dapat dipelihara, warisan budaya terus dipertahankan serta keharmonian masyarakat terus diperkukuh,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post KUIH TRADISIONAL BENTENG WARISAN MELAKA
Next post GERAN SEJATI MADANI KINI UNTUK PERTUBUHAN BELIA