
AB RAUF HARGAI PENGORBANAN 200 WARGA MBMB BERTUGAS DI AIDILFITRI
AYER KEROH 17 Mac – Pengorbanan kira-kira 200 warga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang bertugas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri mendapat perhatian dan penghargaan Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengorbanan petugas itu amat dihargai memandangkan mereka tetap melaksanakan tugas walaupun ketika orang lain menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Saya ucapkan terima kasih kepada 200 warga MBMB yang bertugas sepanjang Hari Raya ini dan pengorbanan mereka amat saya hargai.
“Orang lain sedang beraya, tetapi anggota ini tetap bertugas demi menggalas tanggungjawab mereka untuk Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga MBMB yang sentiasa menyokong pelbagai pencapaian pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
“Sumbangan warga MBMB merangkumi pelbagai peringkat termasuk pekerja pembersihan, anggota penguat kuasa, petugas landskap, jurutera serta kakitangan pentadbiran yang membantu memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
“Rakyat mungkin tidak mengenali saudara dan saudari yang bekerja di belakang tabir, namun percayalah rakyat merasai hasilnya setiap hari. Terima kasih kepada semua warga MBMB,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


