
TRADISI REWANG SEMARAK RAYA ORANG TABOH NANING
TABOH NANING 30 Mac – Memasak tiga kawah dan satu periuk besar kari lembu menjadi mudah menerusi rewang yang bersempena penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning yang berlangsung semalam.
Pengusaha Katering Mohd Nordin Abu Bakar berkata, dia diberi tanggungjawab untuk memasak 200 kilogram (kg) daging lembu sebagai menu utama majlis jamuan berkenaan.
Katanya, dia bersama pasukannya turut membantu memasak 200kg beras dan menyediakan rendang ayam menggunakan 270 ekor ayam segar.
“Sejak pagi semua orang bersemangat untuk menyiapkan menu istimewa ini, saya bangga melihat komitmen jawatankuasa terlibat, mungkin bukan kerana hanya mahu menjayakan penganjuran majlis tetapi berasa seronok dapat menghidupkan tradisi rewang.
“Tradisi rewang secara tidak langsung menaikkan ‘mood’ untuk menyambut tetamu, semua orang iklhas dalam menjalankan tugas masing-masing.
“Bagi saya tradisi rewang ini wajar untuk kita hidupkan semula, tidak kira sempena majlis rumah terbuka atau kenduri perkahwinan ini adalah tradisi harus kita pertahankan.” katanya ketika ditemui di Japerun Taboh Naning.

Apa yang menarik adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin turun padang bagi bersama-sama melancarkan lagi proses memasak hidangan untuk penganjuran majlis berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


