Sorting by

×

SUSPEK AKTIF PECAH RUMAH DIBERKAS DI PAGI RAYA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 30 Mac – Tindakan licik seorang lelaki tempatan yang aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak awal tahun ini berakhir apabila diberkas polis pada pagi Aidilfitri menerusi Op Petong.

Suspek berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 pagi pada 21 Mac lalu di Ayer Keroh ketika sedang cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan taman perumahan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah,  Asisten Komisioner Christopher Patit berkata tangkapan dilakukan hasil risikan pihak polis dalam operasi ‘Op Petong’ bagi mengekang kegiatan pecah rumah di sekitar daerah berkenaan.

Katanya, suspek berjaya ditahan di tepi jalan, tidak jauh dari rumah mangsa ketika sedang cuba melakukan jenayah pecah di sebuah rumah di kawasan terbabit.

“Siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu dipercayai bergerak secara solo dan aktif melakukan pecah rumah sejak Januari lalu.

“Hasil tangkapan ini, kita berjaya menyelesaikan lima kes jenayah harta benda di sekitar Melaka Tengah,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati suspek menyasarkan rumah di kawasan berpagar dan berpengawal keselamatan yang tidak berpenghuni atau ditinggalkan dalam tempoh tertentu.

“Suspek dipercayai meletakkan kenderaannya jauh dari lokasi sasaran sebelum berjalan kaki melalui kawasan semak bagi mengelak dikesan.

“Suspek kemudian memanjat tembok dan memasuki rumah mangsa melalui tingkap bilik air atau tingkap sisi,” katanya.

Christopher berkata, dalam penahanan itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, pakaian, sarung tangan serta sebuah kereta jenis Honda Jazz yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan suspek direman sehingga 2 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

623
Kongsi :
Previous post RUMAH TERBUKA AYER MOLEK BAWA KELAINAN, JELAJAH 6 KAMPUNG
Next post RIBUT PETIR, HUJAN LEBAT DIRAMAL DI SEMBILAN NEGERI HINGGA 5 PETANG INI