
ENRIQUE OF MALACCA SHIPYARD BAKAL PERKUKUH EKONOMI MARITIM MELAKA
KLEBANG 21 April – Kerajaan Negeri memperkukuh sektor ekonomi maritim menerusi pelaksanaan projek pembangunan Enrique of Malacca Shipyard bernilai RM180 juta di Klebang yang dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek berimpak tinggi itu dijangka mampu menjana hasil melebihi RM1.8 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Menurutnya, pembangunan itu melibatkan kerjasama antara Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) Corporation dan syarikat dari Turkiye, Henry The Black Shipyard Sdn Bhd yang berpengalaman lebih 47 tahun dalam industri maritim global.
“Projek ini akan dibangunkan di tapak seluas 17.48 hektar (42.3 ekar) dan dijangka menjadi antara ‘shipyard’ terbesar di Negeri Melaka, sekali gus memperkukuh aspirasi negeri sebagai ‘Future Maritime City’.
“Ia juga merupakan sebahagian daripada pembangunan SM-WEZ yang merangkumi kawasan seluas 3,642 hektar penambakan laut sepanjang 33 kilometer di persisir pantai,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Enrique of Malacca Shipyard di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Ketua Pegawai Eksekutif SM-WEZ Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz dan Pengarah Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu.
Tambahnya, projek tersebut dijangka membuka lebih 1,500 peluang pekerjaan khususnya kepada anak tempatan termasuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang berkaitan maritim.
“Dengan kedudukan strategik di Selat Melaka yang menjadi laluan kira-kira 80,000 kapal setahun serta menyumbang hampir 30 peratus perdagangan global, projek ini berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan industri maritim negeri.
“Ia juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi biru Melaka,” katanya.
Mengulas mengenai impak terhadap alam sekitar, Ab Rauf menjelaskan projek itu tidak memberi kesan negatif kepada ekosistem laut kerana kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) telah dilaksanakan lebih awal sebelum kerja penambakan dijalankan.
“Kelulusan EIA telah diperoleh dan semua aspek berkaitan telah diambil kira bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


