Sorting by

×

WRUR MACHAP JAYA: 214 ADUAN SUDAH DISALURKAN KEPADA JABATAN, AGENSI UNTUK TINDAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

MACHAP JAYA 21 April – Keseluruhan sebanyak 214 pelbagai jenis aduan sudah diterima setakat ini bagi penganjuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, aduan berkenaan disalurkan oleh pelbagai pihak melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti dan wakil 12 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Machap Jaya.

Katanya, semua aduan berkenaan sudah disalurkan kepada jabatan dan agensi berkaitan bagi tindakan selanjutnya yang diharap dapat diselesaikan mengikut tempoh sudah ditetapkan.

“Aduan kecil kita cuba selesaikan dengan seberapa segera, tetapi bagi isu agak besar dan melibatkan kos tinggi perlu dirujuk kepada agensi negeri atau persekutuan. Tindakan juga mungkin mengambil masa agak panjang, namun kita cuba yang terbaik,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian ketika ditemui pada Program Masyarakat Di Hati MPAG 2026 bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di Kampung Felda Bukit Bulat, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan turut dihadiri Ketua Whip Ahli Majlis MPAG Fadzil Abd Rahim serta jemputan lain.

Sebelum ini jumlah aduan direkodkan adalah sebanyak 190 namun meningkat kepada 214 yang melibatkan pelbagai isu seperti Jalan rosak, bahu jalan dipenuhi semak, kebersihan dan sistem perparitan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post KRISIS TENAGA: MPHTJ CADANG BERI INSENTIF TAMBAHAN KEPADA PENIAGA
Next post ENRIQUE OF MALACCA SHIPYARD BAKAL PERKUKUH EKONOMI MARITIM MELAKA