Sorting by

×

DASAR AIR NEGARA DIPERKASA, SASAR TURUNKAN KADAR NRW

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TANJUNG BIDARA 25 April – Dasar Air Negara secara rasminya dilancarkan di Dataran Tanjung Bidara sempena Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan.

Dasar itu diwujudkan bagi menyokong Pelan Transformasi Air 2040 sebagai langkah memperkukuh pengurusan sumber air negara secara mampan termasuk menurunkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dasar itu akan menjadi kerangka utama pengurusan air negara secara menyeluruh melibatkan kerjasama kerajaan, industri, komuniti dan pengguna.

Menurut beliau, purata NRW nasional ketika ini adalah sekitar 33.4 peratus dan memerlukan tindakan bersepadu semua pihak bagi mengurangkannya.

“Salah satu cabaran utama kita adalah NRW dan sasaran kita adalah untuk menurunkan kadar itu kepada 28 peratus berbanding purata nasional ketika ini sekitar 33.4 peratus.

“Justeru, kerajaan memberikan geran kepada negeri-negeri yang mencatat kadar NRW 40 peratus ke atas, manakala negeri yang berada di bawah paras NRW ditetapkan akan menerima geran padanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2026 Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Air Milik Semua’ di Dataran Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir. Azren Khalil, serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, setiap negeri perlu melaksanakan terlebih dahulu usaha mengurangkan NRW sebelum kerajaan menyalurkan semula peruntukan berdasarkan tahap pencapaian.

“Sekiranya negeri berjaya mengurangkan kadar NRW, kita akan menyalurkan geran padanan mengikut peratusan pencapaian. Jika mencapai 75 peratus, kerajaan akan memadankan sehingga 75 peratus, manakala jika 50 peratus, kita akan beri 50 peratus.

“Kebanyakan negeri yang mencatat kadar NRW yang tinggi adalah di Pantai Timur, Perlis, Kedah serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata walaupun Malaysia bukan negara yang berdepan krisis air, risiko tetap wujud sekiranya sumber tidak diuruskan dengan baik.

Sehubungan itu, katanya, pengurusan air secara bijaksana dan bersepadu perlu diperkukuh bagi memastikan kelestarian bekalan pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

318
Kongsi :
Previous post PROJEK RM10.35 JUTA LERAI MASALAH BANJIR KILAT BANDARAYA MELAKA
Next post RAKYAT MELAKA GUNA 231 JUTA LITER AIR SEHARI