Sorting by

×

PEKANBARU-MELAKA JAMBATAN BAHARU PELANCONGAN SERANTAU

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KESIDANG 10 Jun – Melaka optimis merekodkan peningkatan sehingga 30 peratus pelancong Indonesia tahun ini susulan pembukaan semula laluan penerbangan terus Pekanbaru-Melaka oleh Wings Air yang mula beroperasi hari ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan rekod ketibaan seramai 515,086 pelancong Indonesia ke negeri ini sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, laluan udara yang beroperasi tiga kali seminggu pada Rabu, Jumaat dan Ahad itu bukan sahaja memudahkan akses pelancong dari Pekanbaru ke Melaka, malah dijangka memperkukuh lagi hubungan pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua destinasi.

“Jika kita berjaya menarik pertambahan 20 hingga 30 peratus daripada jumlah pelancong Indonesia direkodkan tahun lalu, ia sudah merupakan satu pencapaian yang baik.

“Bagaimanapun, kita berharap angka itu dapat ditingkatkan lagi memandangkan Melaka mempunyai pelbagai produk dan tarikan pelancongan yang mampu memenuhi kehendak pelancong antarabangsa, khususnya dari Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Wings Air Pekanbaru ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB), Nur Azan Hassan; Pemerintah Kota Pekanbaru Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Akmal Khairi S.Th.I.MH dan lain-lain wakil agensi serta jabatan Kerajaan Negeri.

Nasrul berkata, penerbangan sulung dari Pekanbaru yang tiba hari ini membawa hampir 50 penumpang dan dijadualkan kembali ke Pekanbaru pada hari yang sama.

“Selain memudahkan pelancong Indonesia datang ke Melaka, laluan ini turut memberi pilihan kepada rakyat Melaka dan Malaysia untuk berkunjung ke Pekanbaru dengan lebih cepat.

“Melaka mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik yang mampu memenuhi kehendak pelancong antarabangsa dan kita yakin laluan ini akan membantu meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong dari Indonesia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post MELAKA REKOD KUTIPAN ZAKAT LEBIH RM62 JUTA SETAKAT 31 MEI
Next post PENERBANGAN TERUS PEKANBARU-MELAKA JIMAT MASA, PERMUDAH PERJALANAN