
MPHTJ BAWA SINAR BAHARU BUAT KELUARGA CHEN CHEN
KESIDANG 10 Jun – Diuji dengan keadaan suami yang tidak mampu lagi bekerja selepas tiga kali diserang strok, kunjungan kakitangan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membersihkan kediaman lima sekeluarga membawa sinar baharu buat keluarga tersebut.
Menurut Tan Chen Chen, 49, dia amat terharu ketika dimaklumkan keluarganya antara yang terpilih untuk disantuni menerusi program Kempen Kebersihan Dan Pembaikan Kecil Rumah sempena program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.
Katanya, sebelum ini dia bersama anak-anak ada cuba untuk membersihkan kediaman dua tingkat diduduki mereka itu tetapi ada beberapa kekangan usaha itu tidak dapat dilakukan sepenuhnya.
“Memang terharu dan gembira apabila ada pihak yang tampil membantu pastinya dalam keadaan kesihatan suami yang uzur dia memerlukan persekitaran bersih serta sihat.
“Lega juga apabila nampak rumah ada perubahan malah beberapa kerja pembaikan turut akan dilakukan. Terima kasih atas keprihatinan ini,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu ditemui pada Program Kempen Kebersihan Dan Pembaikan Kecil Rumah sempena program WRUR DUN Kesidang yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin, di Taman Malim Jaya, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin dan Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron serta Setiausaha MPHTJ Mohd Faizal Mohd Zin.
Chen Chen berkata, semasa suaminya Lim Ming Tuck, 51, masih dia dia bertugas sebagai sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sedikit sebanyak membantu pendapatan keluarga.
“Kini pendapatan sudah kurang selain kami masih mempunyai anak yang bersekolah jadi amat memerlukan bantuan dan dengan sumbangan dihulurkan ini sedikit sebanyak amat membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


