
DUN MACHAP JAYA TERIMA 107 PROJEK BERNILAI RM4.07 JUTA
MACHAP JAYA 26 April – Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menerima peruntukan sebanyak RM4.07 juta melibatkan 107 projek pembangunan bagi tempoh 2022 hingga 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peruntukan itu merangkumi penyelenggaraan infrastruktur, jalan raya, longkang, kemudahan komuniti serta naik taraf tandas sekolah.
“Pelaksanaan projek ini melibatkan 42 projek pada 2022 dengan peruntukan RM1.08 juta, diikuti 22 projek pada 2023 berjumlah RM885,000, 22 projek pada 2024 berjumlah RM604,985, 14 projek tahun 2025 berjumlah RM780,000 dan tujuh projek pada 2026 dengan peruntukan RM720,000.
“Selain itu, sebanyak 61 projek Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) telah dilaksanakan di DUN Machap Jaya sejak 2022 hingga Mac 2026 melibatkan sembilan bina baharu dan 52 baik pulih rumah dengan jumlah peruntukan RM1.754 juta.
“Antara projek besar yang telah siap termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah di Mukim Melaka Pindah bernilai RM12 juta serta Dewan Serbaguna dan Sekolah Rendah Agama JAIM Kampung Melaka Pindah bernilai RM6.516 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Alor Gajah: Kampung Kita DUN Machap Jaya yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Machap Baru, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Adun Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Adun Gadek Datuk VP Shanmugam; Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Adun Durian Tunggal Datuk Zahari Abd Kalil; Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Hee Sem berkata, Machap Jaya turut bakal menerima sebuah masjid baharu iaitu Masjid Lesung Batu yang kini sedang dibina dengan kos RM6.7 juta dan dijangka siap pada Ogos 2026.
“Projek ini sudah mencapai kemajuan sekitar 70 peratus dan mampu menampung lebih 800 jemaah pada satu-satu masa.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan seimbang dan kesejahteraan rakyat di Machap Jaya terus diperkasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


